Friday 30 August 2013

BLoGgeR WaNiTa aTau bLogGer MusLiMah

Apakah kita ini semata-mata blogger wanita atau kita hakikatnya adalah blogger muslimah?
Adakah kita, sebagai seorang muslimah yang menjadikan blog sebagai medium penyampaian, benar-benar menggerakkan blog kita, menggerakkan penyampaian kita, agar memberikan penyampaian Islam yang sebenar? Atau kita sekadar menayangkan ‘kewanitaan’ kita kepada masyarakat semata-mata?
Di sini kita kupas Blogger Muslimah secara khusus!


Disiplin Seorang Muslimah.
Perkara utama yang perlu kita ketahui di dalam mengupas perihal Blogger Muslimah ini adalah, disiplin seorang muslimah itu sendiri.
Di dalam Al-Quran, Allah SWT telah menyebut dengan jelas di dalam Surah An-Nur:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.
Ayat ini adalah absolute dalam menyatakan bagaimana disiplin seorang Muslimah yang sebenarnya. Membaca ayat ini, jelas kepada kita betapa seorang Muslimah itu adalah yang sederhana dan tidak menunjuk-nunjukkan kecantikannya. Tidak pula membuka auratnya. Menjaga pula pergaulannya. Mereka tidak memperlihat-lihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir sahaja. Tafsiran yang zahir ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith bermaksud:
“Jika seorang anak perempuan itu telah baligh, hanya wajah dan dua telapak tangannya sahaja boleh kelihatan.” Riwayat Abu Dawud.
Kemudian antara disiplin di dalam menjadi Muslimah adalah Muslimah tidak bertabarruj. Sebagaimana Allah SWT telah memberikan larangan di dalam firmanNya:
“Janganlah kalian bertabarruj sebagaimana tabarrujnya orang-orang jahiliyyah yang awal.” Surah Al-Ahzab ayat 33.
Tabarruj bermaksud berlebih-lebihan dalam berhias, atau menunjuk-nunjukkan kecantikan yang ada. Apabila dibahaskan mengapa disebut ‘sebagaimana tabarrujnya orang-orang jahiliyyah yang awal’, dinyatakan bahawa wanita-wanita jahiliyyah awal itu adalah yang memulakan berhias berlebihan untuk menarik perhatian/menggoda lelaki. Justeru, apa-apa sahaja tindakan menghias diri berlebih-lebihan, sengaja menzahirkan kecantikan, dengan niat hendak mendapatkan perhatian maka itu sebenarnya adalah tindakan tabarruj. Nyata, tabarruj bukan disiplin seorang Muslimah.
Lebih penting lagi, segala disiplin seorang hamba kepada Allah SWT, adalah termaktub di dalam disiplin seorang Muslimah.
Justeru, di sini saya noktahkan perihal Disiplin Seorang Muslimah.
Pendek kata, Muslimah itu sederhana, menjaga dirinya, dan menjaga orang lain dari diheret oleh dirinya ke neraka. Dirinya mulia, dan amat menjaga kehormatan dirinya ini dengan berusaha menjaga batas-batas sebagaimana yang telah Allah SWT tetapkan.

Blogger Muslimah.
Maka, seorang blogger Muslimah adalah yang tertakhluk di bawah Disiplin Seorang Muslimah.
Seorang blogger yang menulis atas dasar untuk menegakkan kebenaran, untuk menyampaikan kesedaran, untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT.. Tiada bezanya untuk seorang blogger Muslimah.
Blogger Muslimah tidaklah menunjuk-nunjukkan kecantikannya. Tidaklah dia berhias untuk mendapat perhatian ramai, lalu memampangkan wajah ayunya, bibir mungilnya di blognya. Tidaklah dia mendedahkan auratnya, dan tidaklah dia memakai pakaian yang tidak sopan.
Tidak pula dia meletakkan gambar-gambar yang mampu menimbulkan fitnah, walaupun menutup aurat(balik kepada isu tabarruj).
Pendek kata, jika benar dia seorang Blogger Muslimah, maka fokusnya adalah penyampaiannya, dan bukannya untuk menayang-nayangkan kecantikannya.

Blogger Muslimah Blogger Mendidik.
Blogger Muslimah tidak menjadikan pujian orang sebagai matlamat. Apatah lagi pujian terhadap rupa paras.
“Comelnya Kak Zazu(bukan nama sebenar).”
“Ayu la Kak Zazi(bukan nama sebenar).”
“Wah, lawanya Kak Zus(bukan nama sebenar.)”
Sekiranya inilah yang muncul pada komen-komen setiap postnya, maka sepatutnya blogger Muslimah bermuhasabah. Apakah yang sebenarnya telah dia lakukan? Dia sebenarnya membawa manusia pulang kepada Allah SWT, atau sebenarnya membuatkan orang terpegun dengan kecantikannya?
Blogger Muslimah sepatutnya menjadi pendidik kepada akhlak sopan, dan adab seorang muslimah yang sebenar. Menceritakan cabaran menjadi seorang muslimah di tengah Islam menjadi dagang. Di tengah perempuan-perempuan lain tidak malu menggadaikan diri dan membuka aurat masing-masing. Menjelaskan peranan wanita di dalam kehidupan, di dalam Islam, di dalam rumah tangga, di dalam negara dan sebagainya. Boleh dikupas juga bagaimana wanita-wanita Muslimah yang terdahulu, atau juga ilmuwan Muslimah yang muktabar untuk dijadikan contoh. Boleh juga dikupas perihal wanita masa kini, dan bagaimana mahu kita bina bi’ah solehah yang baik dalam masyarakat wanita kita.
Sarat dengan idea. Sarat dengan wawasan. Sarat dengan isi yang bermanfaat. Ya, begitulah Blogger Muslimah yang sebenarnya. Bukan hanya bersembang berkenaan ‘hensemnya si dia’ atau ‘kenapa artis itu bercerai dengan si dia?’ dan atau ‘hari ini aku pergi bla bla bla’. Lebih buruk, memang kerjanya tayang diri sematya-mata.
Bukanlah Blogger Muslimah seorang yang bercerita akan diari hidupnya tanpa ada hubungan dengan Allah SWT. Bukanlah blogger Muslimah seorang yang menceritakan aib orang lain. Bukanlah blogger Muslimah seorang yang hanya menayang-nayangkan kecantikannya, hayat hidupnya, untuk dipuja dan dipuji.
Blogger Muslimah, adalah blogger yang mendidik.

Janganlah Jadi Blogger Wanita Semata-mata.
Maka janganlah jadi blogger wanita semata-mata. Yang kosong tanpa idea. Yang sekadar menjual kecantikan dirinya.
Blogger Muslimah bukanlah blogger yang menulis ayat-ayat Allah SWT, hadith-hadith Rasulullah SAW, kalam-kalam nasihat, dalam keadaan dirinya memaparkan aurat, dalam keadaan dirinya bertabarruj, dalam keadaan dirinya memaparkan kecantikannya.
Tidak. Itu bukan Blogger Muslimah. Itu Blogger Wanita.
Blogger Muslimah, walau dia tidak letak sepotong ayat Al-Quran pun, walau tidak ada bersama artikelnya sebaris hadith pun, tetapi dia membawa nilai dan pengajaran yang tinggi untuk kehidupan, bersama adab dan kehormatannya yang terjaga. Kerana dia jelas mengajak kepada Allah SWT, dan berada di dalam disiplin seorang Muslimah yang sebenarnya.
Maka janganlah kita menjadi blogger wanita semata-mata.
Jadilah Blogger Muslimah.
Yang duduk tunduk di bawah disiplin seorang Muslimah.
Fokus kembali matlamat kita.

Penutup: Blogger Muslimah, Satu Aset.
Saya sangat percaya bahawa Blogger Muslimah adalah satu aset yang besar. Ya, lelaki mungkin tidak terlalu hebat dalam mendalami perempuan. Kerana apa-apa hal pun, lelaki adalah lelaki. Perempuan jugalah yang mampu sampai kepada perempuan dengan lebih dalam. Kerana itu, Blogger Muslimah amat perlu, untuk menjadi qudwah, penyampai, yang baik kepada wanita-wanita. Kerana itu, kita sepatutnya membina diri kita biar benar-benar menjadi Blogger Muslimah, bukan semata-mata Blogger Wanita.
Bukanlah salah meletakkan gambar. Tetapi tidaklah perlu berhias, tidak perlu kepada aksi-aksi manja, tidak perlu memuncungkan bibir tanpa keperluan. Tidak salah memaparkan aktiviti-aktiviti yang dilalui bersama muslimah lain, selagi aurat masih terjaga dan akhlak masih dalam kesopanan Islam. Bahkan, sampai masa, perlu kerana masyarakat hendak melihat bagaimana kehidupan muslimah yang sebenar.
Tetapi janganlah kita ‘jual’ diri kita. Jika kita ‘jual diri kita, kita hakikatnya tidak membantu Islam pun.
Bahkan kita menjadi fitnah pula kepada Islam kerana memaparkan sikap ‘muslimah’ yang tidak sepatutnya. Apatah lagi, jika yang kita tulis adalah perkara-perkara kebaikan. Ketahuilah bahawa, antara kita dengan orang Islam ada perbezaan. Begitu jugalah antara wanita biasa dan seorang Muslimah, sepatutnya ada perbezaan. Jika kita pun serupa mereka, maka apa sebenarnya kita?
Mari, didik diri menjadi Blogger Muslimah! 

Tuesday 13 August 2013

MenYamBut SyAwaL tAnPa MeniNgGaLkaN pEriBAdi rAbBaNi..

Assalamualaikum dan amira ucapkan selamat menyambut hari raya aidilfitri... amira mohon beribu-ribu keampunan dr korang jika terdapat penulisan amira yang telah buat korang terasa atau tidak memuaskan hati korang semua... amira hanyalah insan biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan dan tidak dapat penuhi semua hati... amira mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki... 



Berakhir sudah bulan pesta ibadah bagi orang-orang beriman.
Kata sesetengah orang, puasa dah sebulan, raya mestilah sebulan juga.
Betulkah begitu?
Sebetulnya, raya Eidulfitri hanya sehari saja iaitu pada 1 Syawal. Selebihnya hari-hari dalam Syawal tidaklah dikira sebagai hari perayaan yang diiktiraf di dalam hadis Rasul s.a.w. Tinggal lagi, adat kita orang-orang Melayu yang biasa meneruskan ziarah dan berkunjung ke rumah saudara-mara di hari-hari dalam Syawal. Maka, seakan-akan ada yang beranggapan raya adalah sebulan juga.
Adat yang baik ini tidak ada masalah untuk diteruskan selama mana tidak dilakukan apa-apa yang bercanggahan dengan syariat Islam. Tinggal lagi, ia tetap adalah bukan perayaan di dalam Islam.

Memelihara Peribadi Rabbani Di Syawal
Berkunjung, berziarah dan memberikan hadiah di Syawal ini adalah suatu amalan yang baik. Namun, amalan ini akan bertukar menjadi tidak baik bila dicemari dengan dosa dan maksiat.
Sebab itu, Eidulfitri dan Syawal ini hendaklah disambut tanpa ditanggalkan peribadi Rabbani, peribadi yang takutkan Allah dan merasakan Allah sedang melihat tindakannya.
Janganlah kita cemarkan Eidulfitri dan Syawal yang mulia ini dengan mencari kemurkaan Allah.
Kita telah berusaha selama sebulan di dalam Ramadhan untuk mengejar keampunan dan rahmat Allah, maka apakah dengan mudah-mudah kita mahu mengundang murka-Nya pula setelah sehari beraya?
Tidak ada masalah untuk kita berhibur dan bergembira di Syawal ini, tetapi hendaklah dalam keadaan memelihara batas-batas suruhan dan larangan Allah.
Kita telah diciptakan oleh Allah, diberikan segala nikmat oleh Allah, maka kita adalah hamba-Nya. Mustahil untuk kita memilih waktu yang mahu untuk kita menjadi hamba-Nya. Kita adalah hamba Allah full time, tanpa musim, 24 jam sehari. Maka untuk itu, mari kita tetap menjadi hamba yang sejati, beribadah terus tanpa memilih bulan atau hari agar beroleh makna bahagia hakiki di sisi Ilahi nanti.
Oleh itu, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut agar kita tidak terlanjur melanggar syariat Allah 

1) Jaga waktu solat. Di kesibukan bersama saudara mara dan menghadiri jamuan makan, jangan abaikan tuntutan solat fardhu.
2) Berpakaian menutup aurat dengan baik bagi wanita. Elakkan berpakaian ketat atau terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh.
3) Perayaan bukan tanda kita bebas untuk melakukan apa saja termasuk berhubung dan bersentuhan sesuka hati dengan bukan mahram. Oleh itu, elakkan pergaulan bebas, membonceng motosikal, menaiki kenderaan dengan bukan mahram.
4) Menjaga kesihatan. Tidak ada masalah untuk makan minum dan menghadiri jamuan, tetapi berusahalah memberikan perhatian kepada keadaan kesihatan kita agar kita tidak diserang oleh penyakit-penyakit yang berbahaya seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Usahakan sekiranya berkemampuan untuk melakukan exercise atau jogging di musim perayaan ini.
5) Jangan memberat-beratkan sahabat-sahabat atau saudara-mara kita yang mungkin tidak begitu berkemampuan untuk menyediakan hidangan atau memberi duit raya di bulan Syawal ini. Bawalah hadiah ke rumah mereka sekiranya kita pergi menziarahi mereka. Eidulfitri ini kita mahu eratkan silaturahim sesama insan, maka janganlah sampai mereka merasa terbeban pula dengan kedatangan kita.
Ada banyak lagi perkara lain yang mungkin tidak sempat disentuh di sini. Tetapi dengan sensitiviti iman serta mengetahui perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah, maka kita sepatutnya tahu bagaimana memelihara diri kita di musim perayaan ini.

Agar Iman Tidak Terkorban, Agar Taqwa Terus Utuh Di Jiwa
Ramadhan yang kita lalui telah kita usaha bersungguh-sungguh di dalamnya untuk kita bina keimanan, bina rasa dekatnya jiwa kita dengan Allah, membersihkan diri kita dari segala dosa.
Maka, jangan dikorbankan segala usaha ini dengan sambutan perayaan yang penuh kemaksiatan.
Ramadhan adalah kilang yang membekalkan senjata dan kelengkapan kekuatan untuk 11 bulan yang akan datang.
Kalau di stesyen Syawal saja kita sudah kehilangan hampir separuh bekalan kita, bagaimana mungkin kita bisa bertahan dengan baik di bulan-bulan akan datang.
Justeru, Syawal ini biarlah kita sambut dalam keadaan ia menjadi ibadah di sisi Allah s.w.t.
Bersilaturahim, menceriakan mereka yang dalam kesusahan, ziarah-menziarahi, memberi hadiah dan buah tangan serta sebagainya lagi, biarlah semua itu menjadi sesuatu yang bernilai ibadah di sisi Allah.
Agar ia tak jadi rutin tahunan semata-mata, tetapi memberikan impak kekuatan kepada jiwa kita untuk terus istiqamah dalam mentaati Allah s.w.t. dalam kehidupan kita.
Maka, diriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w. yang telah mengingatkan kita akan salah satu stesyen langsung untuk membantu memelihara momentum ibadah kita di dalam Ramadhan iaitu puasa enam.
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” [Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll].
Puasa enam adalah salah satu penerusan yang baik setelah Ramadhan agar kita tidak terus melupakan apa yang telah kita lalui sepanjang Ramadhan. Sempatkanlah diri kita untuk melakukannya sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa keuzuran.

Penutup : Kita Berhibur Dan Bersukaria Tetapi Dengan Menghormati Limitasinya
Kita berhak berhibur dan bersukaria di dalam Syawal ini, tetapi biarlah dalam keadaan kita menghormati limitasi yang telah Allah gariskan.
Dihadiahkan oleh Allah dengan Eidulfitri ini pun adalah suatu hadiah yang sudah dikira besar.
Hiburan dan kegembiraan sebenar bagi mukmin adalah ketika kita bertemu Allah s.w.t. nanti, di mana saat itu sang mukmin telah meredhai Allah sebagai Rabbnya dan Allah pun telah redha kepada hamba-Nya itu, lalu dimasukkannya ke dalam syurga.
Apakah kegembiraan yang lebih besar daripada itu?
Maka, di dunia ini, kita bekalkan diri kita dengan keimanan dan ketaqwaan, mempersiapkan jiwa kita dengan ketaatan dan ketundukan kepada-Nya supaya di akhirat nanti kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan perayaan yang lebih indah, berkali ganda indahnya daripada apa yang sedang kita nikmati hari ini.
Itulah dia perayaan mukmin yang berjaya !
Berjaya kerana mentaati Tuhannya ketika di dunia.
Berjaya kerana bersungguh-sungguh melaksanakan tugasnya sebagai hamba Allah.
Berjaya kerana telah membekalkan dirinya sebaik-baik bekal iaitu taqwa.
Ketika itu, berhiburlah dan bersukarialah sesuka hati kita. Tidak ada halangan dan limitasi apa lagi.

akhir kalam,, selamat menyambut hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin.. dari amira sekeluarga !!